Sekitar akhir tahun 1990-an, apartment ini menempatkan pelajar-pelajar asrama beberapa buah universiti dan juga orang ramai, termasuk warga asing.
Ketika para pelajar baru ditempatkan, tiada apa yang tidak kena dengan bangunan ini.
Kegiatan pelajar berjalan rancak meliputi aktiviti keagamaan, pembelajaran dan kecergasan. Bangunan diselenggarakan dengan baik, malah ramai pelajar sering menggunakan kolam renang di bahagian tengah apartment untuk mandi-manda.
Tahun demi tahun, keadaan mula berubah. Bangunan apartment yang dulunya ceria, menjadi semakin suram. Khabar angin bertiup kencang, bahawa bangunan ini menjadi tempat para pelajar berduaan dan melakukan aktiviti maksiat. Sejak semua ini berlaku, semakin banyak kejadian mistik mula berlaku di apartment tersebut.
Menaiki atau menuruni bangunan menggunakan lif menjadi sesuatu yang menakutkan, terutamanya di waktu malam. Kadangkala butang menyala sendiri lantas lif berhenti di tingkat-tingkat tak berpenghuni. Kadangkala muncul pula entiti yang tidak diingini sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat-tingkat yang tidak ditekan oleh pelajar. Menaiki tangga pula bakal terserempak dengan entiti lain. Kebanyakan hanya berharap nasib mereka baik tidak bertemu dengan entiti setiap kali menggunakan lif.
Dikhabarkan, banyak kejadian mistik berlaku di apartment ini, sehingga jumlah penghuni kian berkurangan. Selenggaraan bangunan semakin diabaikan, air dalam kolam renang menjadi semakin keruh dan perabot semakin rosak. Kejadian histeria dan rasukan berlaku dengan kerap, sehinggalah pada suatu hari, salah seorang pelajar perempuan dikatakan terjun dari tingkat lima kerana mendengar suara aneh yang memintanya berbuat demikian. Kecederaan pelajar tersebut agak serius, sehingga memaksa pihak pengurusan mengosongkan bangunan tersebut kira-kira enam tahun lalu.
Kini bangunan Apartment Riviera II, Taman Kencana, Cheras hanya tinggal bangunan, tiada siapa pun berani menghuninya. Ia semakin suram dan menyeramkan walaupun dilihat dari jauh pada waktu siang. Hanya kumpulan penyiasat paranormal tempatan yang melawat sekali-sekala menceritakan pengalaman seram mereka sewaktu di sana.