October 08, 2011

4 Pembunuh Lesbian Disabit Kesalahan


Cape Town – Selepas lima tahun, akhirnya Mahkamah Majistret di sini, hari ini mensabitkan empat lelaki atas kesalahan membunuh seorang wanita yang juga seorang lesbian.
Kes berkenaan yang mencuri tumpuan penduduk di Afrika Selatan itu tertangguh selama lima tahun akibat peguam bela tertuduh yang sering bertukar serta kegagalan peguam menghadiri perbicaraan.
Keempat-empat lelaki berkenaan didakwa membaling batu, memukul dan menikam hingga mati Zoliswa Nkonyana, 19, beberapa meter dari rumahnya pada 2006.
Nkonyana sebelum ini hidup secara terbuka sebagai lesbian.
Mahkamah bagaimanapun melepaskan tiga lagi tertuduh kerana tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan mereka dengan pembunuhan berkenaan walaupun mereka berada di tempat kejadian ketika pembunuhan itu berlaku.
Bulan lalu, mahkamah yang sama telah membebaskan dua lagi tertuduh.
Afrika Selatan merupakan negara Afrika yang membenarkan perkahwinan sesama jenis, namun keganasan terhadap golongan ini sering berlaku.
Malah golongan lesbian menjadi sasaran dalam serangan seksual yang didakwa mampu membetulkan semula seksualiti mereka.
Walaupun jumlah yang terlibat dalam serangan itu adalah ramai, namun hanya sebahagian kecil yang disabitkan dengan kesalahan berkenaan.
Dua tahun lalu, seorang lelaki dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh seorang aktivis lesbian yang juga pemain bola sepak dalam satu serangan seksual dan rompak berkumpulan.

Comments
0 Comments

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...